Ads 468x60px

PUSAT KECEMERLANGAN IKRAM JUNIOR JOHOR
(Pusat Kecemerlangan Ummu Aiman)
Kompleks IKRAM Johor,
10-11, Jln Pendidikan 3, Taman Universiti,
Skudai, Johor

Sunday, January 12, 2014

Program Cuti Sekolah IKRAM Junior JBT 2013


Laporan Aktiviti IKRAM Junior (JBT)
(Siri 1: 14 Dis. 2013 & Siri 2: 21-22 Dis 2013).

Alhamdulillah dengan izin Allah dan dengan kerjasama semua pihak , Wanita IKRAM Johor Bahru Tengah telah berjaya melaksanakan dua siri program sempena cuti sekolah baru-baru ini.
Program yang berbentuk ‘outdoor’ dan ‘indoor’ ini dirancang bagi mengisi masa lapang anak-anak khususnya ahli-ahli IKRAM Junior dengan aktiviti-aktiviti bermanafa’at.

Siri pertama OPEN YOUR MIND iaitu Lawatan Sambil Belajar telah berlangsung pada hari Sabtu 14 Disember 2013. Seramai 54 peserta dan 8 fasilitator terlibat dalam lawatan ini. Lawatan kali ini ialah ke PetroSains Johor Bahru sempena sambutan Hari Astronomi. Selain dapat meneroka berbagai permainan berbentuk pembelajaran, pihak Petrosains juga menyediakan beberapa pertunjukan Sains (Science Show), Pertandingan Mereka Pakaian Angkasawan dan juga pertandingan mewarna untuk semua peserta. Hadiah-hadiah menarik untuk pemenang pertandingan disediakan oleh pihak Petrosains. Para peserta berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat zohor di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru sebelum meneruskan penerokaan di Zoo Johor. Pengalaman peserta bersama arnab, memberi makan burung dan unta serta menaiki bot adalah antara aktivit menarik di Zoo Zohor. Para peserta bertolak pulang pada jam 3.30 petang seterusnya solat asar berjamaah di Kompleks IKRAM Johor sebelum bersurai pada jam 5 petang. Seramai 22 orang telah mendaftar sebagai ahli IKRAMJunior melalui program ini.

Siri Kedua Kem I LOVE SOLAT telah berlangsung pada hari Sabtu 21 Disember 2013 hingga Ahad 22 Disember 2013. Seramai 66 orang peserta telah mendaftar untuk program ini. Peserta dibahagikan kepada 2 tahap iaitu tahap 1 (6-8 tahun) dan tahap 2 (9-12 tahun). Sesi pendaftaran bermula seawal 8 pagi di Surau At Taqwa Taman Pulai Utama. Setiap peserta diberikan sebuah buku Panduan Sembahyang untuk panduan semasa Kem dan di rumah. Kem kali ini diketuai oleh Cikgu Jue sebagai Kem Komandan. Program dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh adik Fatih Rijal dan slot ‘ice breaking’ dikendalikan oleh Kak Libriati. Slot bengkel berbentuk kumpulan diketuai oleh fasilitator membincangkan tentang cara berwuduk dan solat secara teori seterusnya mengambil wudhuk secara amali. Para peserta telah juga mengadakan solat dhuha bersama-sama dipantau oleh para fasilitator.

Program diteruskan lagi dengan pengisian multimedia bertajuk ‘Untungnya Solat’ oleh Kak Libriati. Demonstrasi Cara Solat Yang Betul diselang seli dengan kuiz Solat dikendalikan oleh Makcik Solihah. Peserta dibenarkan untuk merehatkan diri, solat zohor dan makan tengahari sehingga jam 2.30 petang. Para fasilitator memantau dan membetulkan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh para peserta ketika solat zohor. Pada sesi petang Cikgu Jue berkongsi pengisian yang dipenuhi dengan tayangan-tayangan video berkait dengan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan ketika Solat. Slot terakhir untuk peserta tahap 1 ialah semakan bacaan dan tatacara solat secara individu. Aktiviti ini dijalankan dalam kumpulan dikendalikan oleh fasilitator. Para peserta tahap 1 bersurai pada pukul 6 petang.

Aktiviti seterusnya untuk peserta tahap 2 diadakan di Kompleks IKRAM Johor. Selepas mempersiapkan diri, makan malam, slot maghrib dan isyak peserta disajikan dengan pengisian bertajuk ‘Balasan Orang Tak Solat’ oleh oleh Dr Hishamuddin Alham. Aktiviti malam diakhiri dengan tilawah Surah Al Mulk secara berkumpulan. Para peserta bangun lebih kurang jam 4.30 pagi untuk aktiviti Qiamullail dikendali dan di imamkan oleh abang Ammar, seterusnya mengimamkan Solat Subuh dan mengetuai bacaan Al Mathurat. Slot sebelah pagi sekali lagi dikendalikan oleh Dr Hishamuddin bertajuk ‘Aku Insan Cemerlang’ sebagai motivasi kepada peserta untuk terus berusaha memdidik diri menjadi insan yang lebih baik, cemerlang di dunia dan juga di akhirat.

Pada sesi penutup Kem turut diadakan juga majlis penyerahan sumbangan barangan sekolah kepada anak-anak yang memerlukan. Majlis ringkas tersebut dikendalikan oleh Prof Dr Muhamad, Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM JBT. Diharapkan dengan majlis itu juga, dapat menanamkan perasaan syukur dan perihatin anak-anak peserta kepada rakan-rakan lain yang kurang bernasib baik.

Pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang telah terlibat menjayakan kedua-dua program diatas samada secara langsung atau tidak langsung. Semoga sumbangan yang dicurahkan dalam bentuk tenaga, fikiran, wang ringgit dan sebagainya diterima sebagai amal soleh disisi Nya. 

No comments:

Post a Comment

 

Mengenai

Alamat

Pusat Kecemerlangan IKRAM Junior Johor
Kompleks IKRAM Johor
10-11, Jln Pendidikan 3,
Taman Universiti, Skudai, Johor